31 Okt 2013

Rukun & Syarat Sah Nikah


Rukun & Syarat Sah Nikah

Rukun nikah
1. Pengantin lelaki (Suami)
2. Pengantin perempuan (Isteri)
3. Wali
4. Dua orang saksi lelaki
5. Ijab dan kabul (akad nikah)

   * singkatan S.I.S.W.A.


Syarat Sah Nikah

Syarat bakal suami
  • Islam
  • Lelaki yang tertentu
  • Bukan lelaki mahram dengan bakal isteri
  • Mengetahui wali yang sebenar bagi akad nikah tersebut
  • Bukan dalam ihram haji atau umrah
  • Dengan kerelaan sendiri dan bukan paksaan
  • Tidak mempunyai empat orang isteri yang sah dalam satu masa
  • Mengetahui bahawa perempuan yang hendak dikahwini adalah sah dijadikan isteri


Syarat bakal isteri
  • Islam
  • Perempuan yang tertentu
  • Bukan perempuan mahram dengan bakal suami
  • Bukan seorang khunsa
  • Bukan dalam ihram haji atau umrah
  • Tidak dalam idah
  • Bukan isteri orang
  • Syarat wali
  • Islam, bukan kafir dan murtad
  • Lelaki dan bukannya perempuan
  • Baligh
  • Dengan kerelaan sendiri dan bukan paksaan
  • Bukan dalam ihram haji atau umrah
  • Tidak fasik
  • Tidak cacat akal fikiran,gila, terlalu tua dan sebagainya
  • Merdeka
  • Tidak ditahan kuasanya daripada membelanjakan hartanya

* Sebaiknya bakal isteri perlulah memastikan syarat WAJIB menjadi wali. Sekiranya syarat wali bercanggah seperti di atas maka tidak sahlah sebuah pernikahan itu. Sebagai seorang mukmin yang sejati, kita hendaklah menitik beratkan hal-hal yang wajib seperti ini. Jika tidak di ambil kira, kita akan hidup di lembah zina selamanya.


Syarat-syarat saksi
  • Sekurang-kurangya dua orang
  • Islam
  • Berakal
  • Baligh
  • Lelaki
  • Memahami kandungan lafaz ijab dan qabul
  • Dapat mendengar, melihat dan bercakap
  • Adil (Tidak melakukan dosa-dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil)
  • Merdeka

Syarat ijab
  • Pernikahan nikah ini hendaklah tepat
  • Tidak boleh menggunakan perkataan sindiran
  • Diucapkan oleh wali atau wakilnya
  • Tidak diikatkan dengan tempoh waktu seperti mutaah(nikah kontrak e.g.perkahwinan(ikatan suami isteri) yang sah dalam tempoh tertentu seperti yang dijanjikan dalam persetujuan nikah muataah)
  • Tidak secara taklik(tiada sebutan prasyarat sewaktu ijab dilafazkan)

* Contoh bacaan Ijab:Wali/wakil Wali berkata kepada bakal suami:"Aku nikahkan/kahwinkan engkau dengan Diana Binti Daniel dengan mas kahwinnya/bayaran perkahwinannya sebanyak RM 3000 tunai".


Syarat qabul
  • Ucapan mestilah sesuai dengan ucapan ijab
  • Tiada perkataan sindiran
  • Dilafazkan oleh bakal suami atau wakilnya (atas sebab-sebab tertentu)
  • Tidak diikatkan dengan tempoh waktu seperti mutaah(seperti nikah kontrak)
  • Tidak secara taklik(tiada sebutan prasyarat sewaktu qabul dilafazkan)
  • Menyebut nama bakal isteri
  • Tidak diselangi dengan perkataan lain

* Contoh sebutan qabul(akan dilafazkan oleh bakal suami):"Aku terima nikah/perkahwinanku dengan Diana Binti Daniel dengan mas kahwinnya/bayaran perkahwinannya sebanyak RM 3000 tunai" ATAU "Aku terima Diana Binti Daniel sebagai isteriku".

7 Rahsia Perkahwinan dalam ISLAM



Siapa di sini yang tidak mahu kahwin?
Semestinya semua orang ingin berkahwin. Mempunyai seorang isteri atau suami, mempunyai anak-anak yang ramai, dan hidup bahagia bersama keluarga yang dibina.

Di dalam perkahwinan terdapat rahsianya yang tersendiri. Ianya terdiri daripada 7 rahsia utama yang dikongsikan oleh Dato’ Ismail Kamus, seorang perunding motivasi dan penceramah bebas serta seorang pengamal perubatan Islam.

7 rahsia utama dalam perkahwinan.

1. Sunnah para Nabi dan Rasul

Perkahwinan dianggap sebagai salah satu daripada sunah para Nabi danRasul. Firman Allah SWT yang bermaksud,

“Demi sesungguhnya Kami (Allah) telah mengutus beberapa Rasul sebelum kamu dan Kami menjadikan untuk mereka isteri-isteri dan keturunan.” (Surah Al-Ra’d: 38)

2. Zuriat keturunan

Kurniaan nikmat Allah kepada hamba-hambaNya agar menerusi perkahwinan akan lahir pula zuriat keturunan yang beriman dan bertakwa yang akan memakmurkan bumi Allah SWT.

3. Suatu ibadah

Perkahwinan dianggap sebagai suatu ibadah yang dapat menyempurnakan setengah daripada agama seseorang, dengannya dia dapat bertemu Allah dalam keadaan suci dan diredai. Al-Baihaqi r.a. meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW bermaksud,

“Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka dia telah memenuhi separuh agamanya. Maka bertakwalah dia kepada Allah pada separuh yang belum disempurnakan lagi.”

4. Bertanggungjawab

Galakan nikah kahwin meliputi semua lapisan masyarakat termasuk yang miskin. Islam ingin mengikis rasa takut, tidak mampu memikul tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak kerana Allah menjamin rezeki mereka.

Ini diperkuat oleh hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Sesiapa yang meninggalkan perkahwinan kerana takut kemiskinan maka ia bukanlah daripada golonganku.”

5. Memelihara maruah

Sebaik-baik jalan untuk memelihara maruah kesopanan diri seseorang ialah melalui perkahwinan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Wahai para pemuda, sesiapa yang mampu berumah tangga, hendaklah ia berkahwin, kerana dengan berbuat demikian dapat menundukkan penglihatan dan memelihara kehormatannya. Sesiapa yang tidak mampu, hendaklah dia berpuasa, justeru puasa itu dapat mengekang keinginan batiniah (nafsu syahwat).”

6. Menyuburkan perasaan keibubapaan

Dapat menyuburkan perasaan keibubapaan dalam memberi perlindungan, pendidikan dan kesejahteraan kepada anak-anak.

7. Disiplin rumah tangga

Melalui perkahwinan wujud disiplin rumah tangga melalui pengagihan tugas suami isteri, ibu dan bapa yang membawa kepada disiplin dan kesejahteraan keluarga serta masyarakat.

[Sumber Artikel Daripada Ustaz Ismail Kamus]

25 Okt 2013

Pengertian Nikah dari segi BAHASA dan SYARAK





                                                                    Pengertian Pernikahan

1. Maksud Nikah :
 ✔✔ Dari segi bahasa : Ikatan atau simpulan.
 ✔✔ Dari segi istilah Syarak : Suatu Ikatan atau akad yang menghalalkan pergaulan dan membatas hak dan kewajipan serta bertolong-tolong di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang di antara keduanya bukan mahram.

2. Perkahwinan adalah merupakan sunnah Rasulullah s.a.w. dan digalakkan di dalam Islam serta dituntut oleh Hukum Syarak, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
" Nikah itu adalah sunnahku, maka sesiapa yang benci sunnahku maka sesungguhnya ia bukan dari golonganku ". ( Riwayat Ibnu Majah )

3. Dalil yang menunjukkan bahawa perkahwinan itu dituntut oleh syarak adalah seperti berikut :
Dalil dari Al-Quran yang bermaksud :

"Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan lain dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil( di antara isteri-isteri kamu) maka berkahwinlah dengan seorang sahaja". ( Surah An - Nisaa' - Ayat 3 )

Dalil dari As-sunnah yang bermaksud:

"Wahai pemuda-pemuda, sesiapa yang mampu di antara kamu (mempunyai belanja serta keinginan) hendak berkahwin, hendaklah ia kahwin, kerana sesungguhnya perkahwinan itu akan memejamkan matanya (terhadap orang yang tidak halal dilihatnya) dan terkawal kehormatannya dan sesiapa yang tidak mampu berkahwin hendaklah ia berpuasa, bahawa puasa itu menjadi benteng". ( Riwayat Muslim )

Ijmak Ulama mengatakan : Hukum perkahwinan itu adalah dituntut oleh Hukum Syarak.