31 Okt 2013

Rukun & Syarat Sah Nikah


Rukun & Syarat Sah Nikah

Rukun nikah
1. Pengantin lelaki (Suami)
2. Pengantin perempuan (Isteri)
3. Wali
4. Dua orang saksi lelaki
5. Ijab dan kabul (akad nikah)

   * singkatan S.I.S.W.A.


Syarat Sah Nikah

Syarat bakal suami
  • Islam
  • Lelaki yang tertentu
  • Bukan lelaki mahram dengan bakal isteri
  • Mengetahui wali yang sebenar bagi akad nikah tersebut
  • Bukan dalam ihram haji atau umrah
  • Dengan kerelaan sendiri dan bukan paksaan
  • Tidak mempunyai empat orang isteri yang sah dalam satu masa
  • Mengetahui bahawa perempuan yang hendak dikahwini adalah sah dijadikan isteri


Syarat bakal isteri
  • Islam
  • Perempuan yang tertentu
  • Bukan perempuan mahram dengan bakal suami
  • Bukan seorang khunsa
  • Bukan dalam ihram haji atau umrah
  • Tidak dalam idah
  • Bukan isteri orang
  • Syarat wali
  • Islam, bukan kafir dan murtad
  • Lelaki dan bukannya perempuan
  • Baligh
  • Dengan kerelaan sendiri dan bukan paksaan
  • Bukan dalam ihram haji atau umrah
  • Tidak fasik
  • Tidak cacat akal fikiran,gila, terlalu tua dan sebagainya
  • Merdeka
  • Tidak ditahan kuasanya daripada membelanjakan hartanya

* Sebaiknya bakal isteri perlulah memastikan syarat WAJIB menjadi wali. Sekiranya syarat wali bercanggah seperti di atas maka tidak sahlah sebuah pernikahan itu. Sebagai seorang mukmin yang sejati, kita hendaklah menitik beratkan hal-hal yang wajib seperti ini. Jika tidak di ambil kira, kita akan hidup di lembah zina selamanya.


Syarat-syarat saksi
  • Sekurang-kurangya dua orang
  • Islam
  • Berakal
  • Baligh
  • Lelaki
  • Memahami kandungan lafaz ijab dan qabul
  • Dapat mendengar, melihat dan bercakap
  • Adil (Tidak melakukan dosa-dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil)
  • Merdeka

Syarat ijab
  • Pernikahan nikah ini hendaklah tepat
  • Tidak boleh menggunakan perkataan sindiran
  • Diucapkan oleh wali atau wakilnya
  • Tidak diikatkan dengan tempoh waktu seperti mutaah(nikah kontrak e.g.perkahwinan(ikatan suami isteri) yang sah dalam tempoh tertentu seperti yang dijanjikan dalam persetujuan nikah muataah)
  • Tidak secara taklik(tiada sebutan prasyarat sewaktu ijab dilafazkan)

* Contoh bacaan Ijab:Wali/wakil Wali berkata kepada bakal suami:"Aku nikahkan/kahwinkan engkau dengan Diana Binti Daniel dengan mas kahwinnya/bayaran perkahwinannya sebanyak RM 3000 tunai".


Syarat qabul
  • Ucapan mestilah sesuai dengan ucapan ijab
  • Tiada perkataan sindiran
  • Dilafazkan oleh bakal suami atau wakilnya (atas sebab-sebab tertentu)
  • Tidak diikatkan dengan tempoh waktu seperti mutaah(seperti nikah kontrak)
  • Tidak secara taklik(tiada sebutan prasyarat sewaktu qabul dilafazkan)
  • Menyebut nama bakal isteri
  • Tidak diselangi dengan perkataan lain

* Contoh sebutan qabul(akan dilafazkan oleh bakal suami):"Aku terima nikah/perkahwinanku dengan Diana Binti Daniel dengan mas kahwinnya/bayaran perkahwinannya sebanyak RM 3000 tunai" ATAU "Aku terima Diana Binti Daniel sebagai isteriku".

7 Rahsia Perkahwinan dalam ISLAM



Siapa di sini yang tidak mahu kahwin?
Semestinya semua orang ingin berkahwin. Mempunyai seorang isteri atau suami, mempunyai anak-anak yang ramai, dan hidup bahagia bersama keluarga yang dibina.

Di dalam perkahwinan terdapat rahsianya yang tersendiri. Ianya terdiri daripada 7 rahsia utama yang dikongsikan oleh Dato’ Ismail Kamus, seorang perunding motivasi dan penceramah bebas serta seorang pengamal perubatan Islam.

7 rahsia utama dalam perkahwinan.

1. Sunnah para Nabi dan Rasul

Perkahwinan dianggap sebagai salah satu daripada sunah para Nabi danRasul. Firman Allah SWT yang bermaksud,

“Demi sesungguhnya Kami (Allah) telah mengutus beberapa Rasul sebelum kamu dan Kami menjadikan untuk mereka isteri-isteri dan keturunan.” (Surah Al-Ra’d: 38)

2. Zuriat keturunan

Kurniaan nikmat Allah kepada hamba-hambaNya agar menerusi perkahwinan akan lahir pula zuriat keturunan yang beriman dan bertakwa yang akan memakmurkan bumi Allah SWT.

3. Suatu ibadah

Perkahwinan dianggap sebagai suatu ibadah yang dapat menyempurnakan setengah daripada agama seseorang, dengannya dia dapat bertemu Allah dalam keadaan suci dan diredai. Al-Baihaqi r.a. meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW bermaksud,

“Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka dia telah memenuhi separuh agamanya. Maka bertakwalah dia kepada Allah pada separuh yang belum disempurnakan lagi.”

4. Bertanggungjawab

Galakan nikah kahwin meliputi semua lapisan masyarakat termasuk yang miskin. Islam ingin mengikis rasa takut, tidak mampu memikul tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak kerana Allah menjamin rezeki mereka.

Ini diperkuat oleh hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Sesiapa yang meninggalkan perkahwinan kerana takut kemiskinan maka ia bukanlah daripada golonganku.”

5. Memelihara maruah

Sebaik-baik jalan untuk memelihara maruah kesopanan diri seseorang ialah melalui perkahwinan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Wahai para pemuda, sesiapa yang mampu berumah tangga, hendaklah ia berkahwin, kerana dengan berbuat demikian dapat menundukkan penglihatan dan memelihara kehormatannya. Sesiapa yang tidak mampu, hendaklah dia berpuasa, justeru puasa itu dapat mengekang keinginan batiniah (nafsu syahwat).”

6. Menyuburkan perasaan keibubapaan

Dapat menyuburkan perasaan keibubapaan dalam memberi perlindungan, pendidikan dan kesejahteraan kepada anak-anak.

7. Disiplin rumah tangga

Melalui perkahwinan wujud disiplin rumah tangga melalui pengagihan tugas suami isteri, ibu dan bapa yang membawa kepada disiplin dan kesejahteraan keluarga serta masyarakat.

[Sumber Artikel Daripada Ustaz Ismail Kamus]

25 Okt 2013

Pengertian Nikah dari segi BAHASA dan SYARAK





                                                                    Pengertian Pernikahan

1. Maksud Nikah :
 ✔✔ Dari segi bahasa : Ikatan atau simpulan.
 ✔✔ Dari segi istilah Syarak : Suatu Ikatan atau akad yang menghalalkan pergaulan dan membatas hak dan kewajipan serta bertolong-tolong di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang di antara keduanya bukan mahram.

2. Perkahwinan adalah merupakan sunnah Rasulullah s.a.w. dan digalakkan di dalam Islam serta dituntut oleh Hukum Syarak, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
" Nikah itu adalah sunnahku, maka sesiapa yang benci sunnahku maka sesungguhnya ia bukan dari golonganku ". ( Riwayat Ibnu Majah )

3. Dalil yang menunjukkan bahawa perkahwinan itu dituntut oleh syarak adalah seperti berikut :
Dalil dari Al-Quran yang bermaksud :

"Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan lain dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil( di antara isteri-isteri kamu) maka berkahwinlah dengan seorang sahaja". ( Surah An - Nisaa' - Ayat 3 )

Dalil dari As-sunnah yang bermaksud:

"Wahai pemuda-pemuda, sesiapa yang mampu di antara kamu (mempunyai belanja serta keinginan) hendak berkahwin, hendaklah ia kahwin, kerana sesungguhnya perkahwinan itu akan memejamkan matanya (terhadap orang yang tidak halal dilihatnya) dan terkawal kehormatannya dan sesiapa yang tidak mampu berkahwin hendaklah ia berpuasa, bahawa puasa itu menjadi benteng". ( Riwayat Muslim )

Ijmak Ulama mengatakan : Hukum perkahwinan itu adalah dituntut oleh Hukum Syarak.

24 Okt 2013

Apa Itu NUSYUZ..?

 
 
Apa Itu NUSYUZ..?
DEFINISI
Nusyuz membawa maksud suatu tindakan yang dilakukan oleh isteri yang dianggap menentang kehendak suami dengan tidak ada alasan yang munasabah menurut hukum syarak. Tindakan itulah dikira durhaka.
Secara umum, Nusyuz adalah bermaksud “maksiat’ perempuan terhadap suaminya tentang hak yang diwajibkan ke atasnya (menunaikan) yang disabitkan melalui akad nikah

Nusyuz pada isteri bererti isteri itu meninggikan diri. Bermaksud, isteri tersebut tidak patuh kepada suaminya atau boleh juga disebut isteri derhaka.

Dalam kitab fikah dijelaskan hukum ke atas isteri yang nusyuz atau derhaka. Mengikut Mazhab Syafie isteri hanya akan mendapat hak nafkahnya apabila dia bersedia menyerahkan diri kepada suaminya.

Jika terbukti dan disabitkan bahawa seseorang isteri itu telah melakukan sesuatu yang menunjukkan keingkaran kepada suaminya maka gugurlah haknya untuk mendapat nafkah.
TANDA-TANDA ISTERI NUSYUZ:

Di bawah ini dinyatakan beberapa gambaran yang menandakan seorang isteri itu nusyuz :
1. Suami telah menyediakan rumah kediaman yang sesuai dengan keadaan suami, tiba-tiba isteri tidak mahu berpindah ke rumah itu, atau isteri meninggalkan rumah tanpa izin si suami.
2. Apabila kedua suami tinggal di rumah kepunyaan isteri dengan izin isteri kemudian suatu masa isteri mengusir atau melarang suami memasuki rumah tersebut.
 
3. Apabila isteri musafir tidak bersama suami ataupun bukan bersama muhramnya (orang yang hram berkahwin dengannya) walaupun perjalanan yang wajib seperti pergi menunaikan ibadat haji, kerana perempuan yang musafir tanpa diiringi suami atau muhrimnya dianggap sudah melakukan satu perkara yang salah (maksiat).
4. Apabila isteri bermuka masam atau pun ia memalingkan muka, bercakap kasar dan sebagainya sedangkan suami berkeadaan lemah lembut, bermanis muka dan sebagainya.
LANGKAH – LANGKAH UNTUK MENGATASI MASALAH NUSYUZ
Berikut adalah langkah – langkah yang perlu dilakukan oleh suami agar menjadikan kehidupan suami isteri bahagia :
1. Pihak suami wajib memberi didikan agama dan tunjuk ajar supaya mereka menjadi wanita yang solehah.
2. Suami isteri perlu mengetahui dan memahami tanggungjawab masing – masing dan mengelakkan perasaan kurang puas hati di antara satu sama lain.
3. Suami isteri hendaklah menjalankan tanggungjawab masing – masing terhadap keluarga dengan penuh ikhlas dan amanah.
4. Suami isteri perlu peka terhadap keperluan bersama supaya tidak timbul perasaan rasa tidak puas hati.
5.Pihak suami perlu memberi penghargaan dan mengucapkan terima kasih ke atas pengorbanan isteri dalam urusan rumah tangga.
6. Pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga, perlu memastikan memilih jodoh daripada lelaki atau wanita yang beriman.
PERKARA-PERKARA YANG PERLU DILAKUKAN APABILA ISTERI NUSYUZ
Apabila suami melihat tanda-tanda yang menunjukkan isterinya itu nusyuz, hendaklah suami itu :
1. Menasihati dengan cara yang baik dan menerangkan kepadanya bahawa nusyuz itu adalah salah dan dikutuk oleh Allah serta memberitahunya bahawa isteri yang nusyuz boleh dipotong atau tidak diberi sara hidupnya, firman Allah :
 
Ertinya : Isteri yang kamu takuti kedurhakaan mereka, maka berilah nasihat kepada mereka.
(Surah An-Nisa: ayat 34)
2. Jika nasihat itu tidak sedikitpun memberi kesan, maka hendaklah suami meninggalkan dari keseketiduran dengan isteri tersebut, sebagaimana firman Allah :
Ertinya : Dan tinggalkan dari seketiduran dengan mereka.
(sambungan ayat 34 surah An-Nisaa’)
Dari ayat ini dapat difahamkan bahawa Allah menyuruh suami-suami meninggalkan dari seketiduran sahaja, bukan meninggalkan percakapan, kerana meninggalkan percakapan lebih dari tiga hari adalah haram, bukan sahaja terhadap isteri-isteri malah terhadap orang lain juga berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
Ertinya : Tidak halal bagi seseorang muslim tidak bercakap dengan saudaranya lebih dari tiga hari. Maksudnya, ialah bila berjumpa di antara satu sama lain, tetapi kalau tidak bertemuan, tidaklah diharamkan walaupun tidak bercakap bertahun-tahun lamanya.
3. Jika tidak seketiduran pun tidak memberi apa-apa kesan, malah isteri tersebut terus nusyuz, maka diharuskan bagi pihak suami memukul isteri tersebut dengan syarat pukulan itu tidak sampai mencederakan atau melukakan sebagaimana firman Allah :
Ertinya : Dan pukullah mereka (isteri).
(Sambngan ayat 34 surah An-Nisa)
Dalam peringkat yang akhir ini, harus dilakukan oleh suami sekiranya difikirkan dengan cara ini akan memberi kesan. Sebaliknya kalau difikirkan tidak akan memberi kesan, maka tidaklah harus dilakukan. Dalam hal ini, suami mestilah berhati-hati , supaya tidak terpukul di tempat-tempat yang mendatangkan bahaya seperti muka, perut dan sebagainya.
RUMUSAN
Sebagai kesimpulannya untuk menghindari nusyuz, pasangan suami isteri hendaklah menjaga perhubungan mereka supaya berkekalan. Akibat daripada berlakunya nusyuz akan memberikan implikasi terhadap perhubungan mereka disamping itu anak – anak juga akan kehilangan untuk mendapatkan kasih sayang. Hal ini juga akan menyebabkan anak – anak terjerumus kearah budaya yang tidak sihat yang dapat merosakkan akhlak, agama dan negara.
Oleh sebab yang demikian, pasangan suami isteri perlulah berusaha dalam mengekalkan perhubungan mereka supaya isteri, suami dan anak – anak dapat hidup dalam keluarga yang bahagia.
……………………….. WASSALAM ………………………..
 
 

Sebab haram Mencukur Bulu kemaluan




Salam semua,

Apa yang dimaksudkan dengan mencukur bulu kemaluan ialah mencukur bulu yang tumbuh disekeliling faraj wanita atau dia atas kemaluan lelaki. Tindakan yang diutamakan ialah mencukur, tetapi diharuskan pula dengan cara bergunting, mencabut dan menggunakan sejenis cecair kapur yang disapukan pada kulit yang menggugurkan bulu kulit itu.

Seorang ulama Syaikh Ibn Daqiq berpendapat bahawa sebahagian ulama cenderung mengutamakan bercukur bagi kaum wanita, kerana perbuatan mencabut akan berakibatkan kendurnya kulit di tempat itu.

Anjuran yang sedemikian ini merupakan satu amalan yang digalakkan agar tidak ada kutu atau tungau yang dapat hidup dibahagian kemaluan, disamping tidak mendedahkannya kepada serangan penyakit tambahan pula kewujudan bulu pada kemaluan baik perempuan begitu juga lelaki, akan dapat menimbulkan bau yang kurang selesa.

Anas bin Malik berkata : “Telah ditentukan waktu untuk kami memendekkan misai, mengerat kuku, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu kemaluan dan kami tidak dibenarkan untuk membiarkannya lebih dari masa empat puluh malam”. – (Riwayat Muslim, Ibn Majah, Ahmad, Tarmizi, Al-Nasai dan Abu Daud).

Dalam perkara mencukur ini, HARAM bagi seorang perempuan mencukur bulu kemaluannya dihadapan perempuan lain, begitu juga HARAM bagi seorang lelaki mencukur bulu kemaluannya dihadapan perempuan lain, ataupun seorang perempuan atau seorang lelaki membenarkan orang lain untuk mencukur bulu kemaluannya. Mendedahkan aurat adalah HARAM disisi syarak, kecuali pendedahan seorang isteri untuk suaminya atau seorang suami untuk isterinya.

Selain mencukur bulu kemaluan ada kaitannya seorang perempuan membersihkan bulu muka. Imam Ahmad telah meriwayatkan, bahawa Bakarah binti Uqbah telah datang menemui Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah r.a lalu ia bertanya kepada Aishah mengenai hal ini. 

Aisyah menjawab : “Pokok yang baik dan air yang suci” Ia bertanya lagi tentang membersihkan muka. Aisyah menjawab : “Jika kamu mempunyai suami dan kamu boleh menggugurkan dua biji mata kamu dan menggantikannya (kedua-duanya) dengan lebih cantik, maka lakukanlah.”. 

Membersihkan muka bagi seorang perempuan dan juga badannya daripada bulu-bulu yang berlebihan adalah dibolehkan. Akan tetapi rambutnya hendaklah ia menghormati dan memeliharanya. Begitu juga jika sekiranya janggut atau misai tumbuh pada seorang perempuan, maka hendaklah ia menghapuskannya.
 

Tanggungjawap Anak Lelaki Kepada Ibu bapa Setelah Berkahwin

 
 
Bismillahirahmanirrahim.. 

Assalammualaikum 

hai semua..

tanggungjawap seorang anak lelaki kepada ibu bapa mereka setelah berkahwin sangat besar sekali...

Sahabat yang dimuliakan,
Apabila seorang lelaki Muslim berkahwin ia bertanggungjawab memberi nafkah dan segala keperluan kepada isterinya. Samaada nafkah zahir dan batin dan asas pendidikan Islam.

Dengan kadar keperluan mengikut kemampuan suami. Bila dikurniakan anak-anak maka  tanggungjawabnya akan bertambah kerana telah menjadi ayah untuk menyara segala keperluan nafkah dan pendidikan anak-anaknya pula.

Walaubagaimana pun ia telah memiliki keluarganya sendiri tetapi tanggungjawab kepada kedua ibu bapanya tidak boleh diabaikan kerana ia masih terikat dengan tanggungjawab tersebut.

Dalam Hadith Sahih Bukhari, seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. maksudnya :
“Siapakah yang perlu kita hormati dan kasihi selepas Allah dan Nabi?”

Jawab Nabi “Ibu kamu”
“Selepas itu?”-
“Ibu kamu”
“Selepas itu?”-
“Ibu kamu”
Kali ke 4 lelaki itu bertanya, “Selepas itu?”
Jawab Nabi “Ayah kamu”

Lihatlah betapa tingginya nilai ibu di dalam Islam. Seorang ibu tidak ada apa cara sekalipun dapat kita membalasnya. Seorang lelaki datang kepada Sayyidian Umar al-Khattab r.a dan berkata, "Saya telah mendokong ibu saya sepanjang tawaf dan haji, sudahkah saya dapat membalas jasa ibu." Jawab Umar r.a., " Kamu belum dapat membalas jasa ibumu walaupun setitis air mata ibumu semasa melahirkanmu."

Hadis di atas menjelaskan  selepas Allah dan Rasul-Nya, orang yang perlu dihormati dan dikasihi adalah ibu dan bapa. Bukan setakat menghormati dan mengasihi mereka tetapi segala keperluan hidup ,keselamatan  dan hak-hak mereka perlulah di penuhi sekadar kemampuan si anak tadi.

Menurut Al Qurthubi, derhaka kepada kedua orang tua ialah menyalahi perintah keduanya, sebagaimana bakti keduanya bererti mematuhi perintah mereka berdua. Berdasarkan ini jika keduanya atau salah seorang dari mereka menyuruh anaknya, maka anaknya wajib mentaatinya, jika perintah itu bukan maksiat. Meskipun pada asalnya perintah itu termasuk jenis mubah, begitu pula bila termasuk jenis mandub (sunat).

Dalam sebuah hadis dijelaskan, Rasulullah s.a.w. bersabda: Dari Abdullah bin Amr, ia berkata: "Seorang lelaki datang kepada Rasulullah, lalu berkata: 'Wahai Rasulullah, aku datang untuk berjihad bersama baginda kerana aku ingin mencari redha Allah dan hari akhirat. Tetapi aku datang kesini dengan meninggalkan ibu bapaku dalam keadaan menangis'. Lalu sabda baginda: "Pulanglah kepada mereka. Jadikanlah mereka tertawa seperti tadi engkau jadikan mereka menangis". (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Jadi perintah ibu atau bapa yang bukan bersifat maksiat atau mempersekutukan Allah, maka kita wajib mentaatinya. Namun jika perintah nya bersifat melawan kehendak dan hukum agama, maka tolaklah dengan cara yang baik.

Sahabat yang dimuliakan,
Seorang wanita apabila telah berkahwin, segala tanggungan dirinya adalah adalah dibawah tanggungan suaminya. Amanah ini terlah diserahkan oleh bapa wanita tadi kepada suaminya.

Bagaimana pandangan Islam kedudukan wanita tersebuat terhadap ibu bapanya?

Islam amat menitik beratkan soal silaturahim, perhubungan sebagai anak dan ibu bapa perlu diteruskan seperti biasa. Wanita kena mentaati suaminya dan diberi keutamaan daripada arahan ibu bapanya kerana tanggungjawab dan ketaatan isteri perlu diberikan kepada suaminya. Walaubagaimana pun Islam melarang suami berlaku tidak adil kepada isterinya jika ada sesuatu keperluan ia ingin membantu ibu bapanya yang susah dan memerlukan bantuan.

Pihak suami perlu ingat bahawa setelah ia mengawini wanita tersebut ibu bapa mertuanya adalah telah menjadi mahramnya dan sama taraf dengan ibu bapanya sendiri. Perlulah diberi kasih sayang dan segala keperluan dan hajat mereka berdua jika mereka terdiri daripada orang miskin perlulah diberi bantuan .

Kedua-duanya (suami dan isteri)  wajib berbuat baik kepada kedua orang tua (kedua-dua belah pihak)  selagi ada hayat mereka di dunia ini. Berbuat baik dalam erti kata menyenangkan hati kedua-duanya dan menjaga serta memberikan apa-apa keperluan mereka. Anak perempuan tidak terlepas tanggungjawab dan berbakti kepada orang tuanya. Jika dia mampu dia juga hendaklah berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.

Dalam Islam, lelaki adalah ketua keluarga, sebab itulah anak lelaki diberikan lebih tanggungjawab untuk menyara orang tua nya walaupun selepas berkahwin jika dibandingkan dengan perempuan yang kurang tanggungjawabnya untuk berbuat demikian selepas berumah tangga. Sebab itulah dalam Islam anak lelaki beroleh 1/2 nisbah faraid berbanding dengan anak perempuan, ini menunjukkan betapa Islam menghargai tanggungjawab yang dipikul oleh anak lelaki sebagai ketua keluarga.

Namun pendapat yg mengatakan anak perempuan langsung tidak mempunyai tanggungjawab terhadap ibu bapa selepas berkahwin adalah salah sama sekali. Cuba bayangkan jika ibu bapa itu mempunyai 6 orang anak dan kesemuanya adalah perempuan adakah penat lelah selama mereka membesarkan anak-anaknya langsung tidak akan dihargai anak-anaknya selepas anak-anak tersebut berumah tangga? Ini adalah sesuatu yang tidak adil memandangkan mereka tidak merancang untuk mempunyai anak perempuan semuanya.

Di zaman sekarang telah berubah, semua perempuan telah berkerjaya, seharusnya kedua-duanya anak lelaki dan perempuan sama-sama membantu untuk menyara kedua ibu bapa mereka yang telah tua sebagaimana kedua ibu dan bapa telah menyara mereka semuanya.

Walaubagaimana pun sebelum apa-apa bantuan yang ingin diberikan, isteri perlulah meminta  keizinan dan redha daripada suami, sesungguhnya seorang suami yang Mukmin tidak akan menghalang sekiranya isterinya ingin membantu dan memberi khidmat kepada kedua ibu bapanya yang memerlukannya. Isteri perlu faham bahawa redha Allah bergantung kepada redha suami tetapi bagi anak lelaki redha Allah bergantung pada redha ibu bapa.

Sahabat yang dihormati,
Dalam Islam lelaki bujang kena tanggung dosa sendiri apabila sudah baligh manakala dosa gadis bujang ditanggung oleh bapanya. Lelaki berkahwin kena tanggung dosa sendiri, dosa isteri, dosa anak perempuan yang belum berkahwin dan dosa anak lelaki yang belum baligh. 

Hukum menjelaskan anak lelaki kena bertanggungjawab ke atas ibu dan bapanya dan sekiranya dia tidak menjalankan tanggungjawabnya maka dosa baginya terutama anak lelaki yang tua. Manakala seorang perempuan hanya perlu taat kepada suaminya.

Isteri berbuat baik pahala dapat kepadanya kalau buat tidak baik sedang suaminya membiarkan sahaja tidak menasihatinya maka  dosanya ditanggung oleh suaminya.

Suami kena bagi nafkah pada isteri, sedangkan pendapatan isteri tidak perlu menanggung nafkah keluarga, walaubagaimana pun isteri boleh membantu meringankan beban suami.

Di akhirat kelak, seorang lelaki akan dipertanggungjawabkan terhadap empat wanita ini: isterinya, ibunya, anak perempuannya dan saudara perempuannya (yang belum berkahwin).

Manakala seorang wanita pula, tanggungjawab terhadapnya ditanggung oleh empat orang lelaki iaitu suaminya, ayahnya (jika belum berkahwin), anak lelakinya dan saudara lelakinya.

Seorang wanita boleh memasuki pintu Syurga melalui mana-mana pintu Syurga yang disukainya cukup dengan empat  syarat sahaja:
1. sembahyang lima waktu,
2. puasa di bulan Ramadhan,
3. taat suaminya dan
4. menjaga kehormatannya.

Seorang lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah dan berdakwah dijalan Allah untuk mendapat redha Allah, tetapi wanita jika taat akan suaminya serta menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah akan turut menerima pahala sama seperti pahala orang pergi berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata.

Sahabat,
Keruntuhan rumahtangga dan penceraian yang banyak berlaku di dalam masyarakat kita adalah berpunca daripada pasangan suami isteri yang tidak memahami hukum-hukum Islam. Mereka tidak memahami hak-hak sebagai suami atau isteri. Mereka meletakkan nilai kebendaan dan hawa nafsu dihadapan dan meninggalkan nilai iman dan taqwa sebagai nilai hidup mereka. Penceraian boleh berlaku hanya berpunca daripada perkara kecil yang boleh diselesaikan dengan mudah bila ada iman dan pemikiran yang resional.

Jika suami faham bahawa kesabaran, lemah lembut dan bertolak ansur itu adalah akhlak yang ditunjukkan Nabi s.a.w. ketika berada di dalam perselishan pendapat dengan isteri maka si suami akan mengutamakan akhlak ini kerana sungguh besar pahalanya disisi Allah s.w.t.Kerana cerai adalah perkara halal yang dibenci oleh Allah s.w.t. Elakkanlah penceraian jika masih ada jalan penyelesaian yang baik.

Dan juga kalaulah si isteri fahan bahawa betapa besarnya dosa derhaka kepada suami dan tidak akan dapat mencium bau Syurga, maka si isteri akan memilih untuk bersabar dan bertolak ansur semata-mata mencari redha Allah. Perlu diingat perasaan marah, keluarkan suara yang tinggi dihadapan suami, mengeluarkan kata-kata kesat dan ungkit mengungkit perkara lama adalah dari dorongan hawa nafsu dan bisikan syaitan. Syaitan memang suka perpecahan dikalangan keluarga Islam kerana dengan perpecahan ini banyak perkara-perkara negatif akan berlaku.

Kedua ibu bapa samaada di pihak suami atau isteri perlulah menjadi penasihat dan pendamai yang baik bukannya menjadi batu api untuk merosakkan rumah tangga yang telah dibina. Ibu bapa yang menjadi pemusnah rumah tangga bahagia anak mereka sendiri adalah mereka-mereka yang melakukan dosa besar dan menempah tempat duduknya di Neraka, nauzubillah. Sebagai orang tua perlu bersikap positif dan proaktif dan tidak boleh menyebelahi mana-mana pihak jika berlaku perselisihan. Yang penting damaikanlah kerana sifat membantu dan memulihkan suasana tegang adalah sifat ibu bapa yang beriman dan bertaqwa.
 

15 Fakta Tentang Keunikan Kaabah Yang Kita Tak Pernah Nak Ambil Tahu


15 Fakta Tentang Keunikan Kaabah Yang Kita Tak Pernah Nak Ambil Tahu

1. Mekah adalah kawasan yang mempunyai graviti paling stabil.
2. Tekanan gravitinya tinggi, dan di situlah berpusatnya bunyi-bunyian yang membina yang tidak boleh didengar oleh telinga.

3. Tekanan graviti yang tinggi memberi kesan langsung kepada sistem imun badan untuk bertindak sebagai pertahanan daripada segala serangan penyakit.

4. Graviti tinggi = elektron ion negatif yang berkumpul di situ tinggi=doa akan termakbul kerana di situ adalah tempat gema atau ruang dan masa serentak.

5. Apa yang diniatkan di hati adalah gema yang tidak boleh didengar tetapi boleh dikesan frekuensinya. Pengaruh elektron menyebabkan kekuatan dalaman kembali tinggi, penuh bersemangat untuk melakukan ibadat, tidak ada sifat putus asa, mahu terus hidup, penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah.

6. Gelombang radio tidak boleh mengesan kedudukan Kaabah.

7. Malah teknologi satelit pun tidak boleh meneropong apa yang ada di dalam Kaabah. Frekuensi radio tidak mungkin dapat membaca apa-apa yang ada di dalam Kaabah kerana tekanan graviti yang tinggi.

8. Tempat yang paling tinggi tekanan gravitinya, mempunyai kandungan garam dan aliran anak sungai di bawah tanah yang banyak. Sebab itu lah jika bersembahyang di Masjidilharam walaupun di tempat yang terbuka tanpa bumbung masih terasa sejuk.

9. Kaabah bukan sekadar bangunan hitam empat persegi tetapi satu tempat yang ajaib kerana di situ pemusatan tenaga, graviti, zon magnetisme sifar dan tempat yang paling dirahmati.

10. Tidur dengan posisi menghadap Kaabah secara automatik otak tengah akan terangsang sangat aktif hingga tulang belakang dan menghasilkan sel darah.

11. Pergerakan mengelilingi Kaabah arah lawan jam memberikan tenaga hayat secara semula jadi daripada alam semesta. semua yang ada di alam ini bergerak mengikut lawan jam, Allah telah tentukan hukumnya begitu.

12. Peredaran darah atau apa saja di dalam tubuh manusia mengikut lawan jam. Justeru dengan mengelilingi Ka abah mengikut lawan jam, bermakna peredaran darah di dalam badan meningkat dan sudah tentunya akan menambahkan tenaga. Sebab itulah orang yang berada di Mekah sentiasa bertenaga, sihat dan panjang umur.

13. Manakala bilangan tujuh itu adalah simbolik kepada tidak terhingga banyaknya. Angka tujuh itu membawa maksud tidak terhad atau terlalu banyak. Dengan melakukan tujuh kali pusingan sebenarnya kita mendapat ibadat yang tidak terhad jumlahnya.

14. Larangan memakai topi, songkok atau menutup kepala kerana rambut dan bulu roma(lelaki) adalah ibarat antena untuk menerima gelombang yang baik yang dipancarkan terus dari Kaabah. Sebab itu lah selepas melakukan haji kita seperti dilahirkan semula sebagai manusia baru kerana segala yang buruk telah ditarik keluar dan digantikan dengan nur atau cahaya yang baru.

15. Selepas selesai semua itu baru lah bercukur atau tahalul. Tujuannya untuk melepaskan diri daripada pantang larang dalam ihram. Namun rahsia di sebaliknya adalah untuk membersihkan antena atau reseptor kita dari segala kekotoran supaya hanya gelombang yang baik saja akan diterima oleh tubuh.