24 Okt 2013

Apa Itu NUSYUZ..?

 
 
Apa Itu NUSYUZ..?
DEFINISI
Nusyuz membawa maksud suatu tindakan yang dilakukan oleh isteri yang dianggap menentang kehendak suami dengan tidak ada alasan yang munasabah menurut hukum syarak. Tindakan itulah dikira durhaka.
Secara umum, Nusyuz adalah bermaksud “maksiat’ perempuan terhadap suaminya tentang hak yang diwajibkan ke atasnya (menunaikan) yang disabitkan melalui akad nikah

Nusyuz pada isteri bererti isteri itu meninggikan diri. Bermaksud, isteri tersebut tidak patuh kepada suaminya atau boleh juga disebut isteri derhaka.

Dalam kitab fikah dijelaskan hukum ke atas isteri yang nusyuz atau derhaka. Mengikut Mazhab Syafie isteri hanya akan mendapat hak nafkahnya apabila dia bersedia menyerahkan diri kepada suaminya.

Jika terbukti dan disabitkan bahawa seseorang isteri itu telah melakukan sesuatu yang menunjukkan keingkaran kepada suaminya maka gugurlah haknya untuk mendapat nafkah.
TANDA-TANDA ISTERI NUSYUZ:

Di bawah ini dinyatakan beberapa gambaran yang menandakan seorang isteri itu nusyuz :
1. Suami telah menyediakan rumah kediaman yang sesuai dengan keadaan suami, tiba-tiba isteri tidak mahu berpindah ke rumah itu, atau isteri meninggalkan rumah tanpa izin si suami.
2. Apabila kedua suami tinggal di rumah kepunyaan isteri dengan izin isteri kemudian suatu masa isteri mengusir atau melarang suami memasuki rumah tersebut.
 
3. Apabila isteri musafir tidak bersama suami ataupun bukan bersama muhramnya (orang yang hram berkahwin dengannya) walaupun perjalanan yang wajib seperti pergi menunaikan ibadat haji, kerana perempuan yang musafir tanpa diiringi suami atau muhrimnya dianggap sudah melakukan satu perkara yang salah (maksiat).
4. Apabila isteri bermuka masam atau pun ia memalingkan muka, bercakap kasar dan sebagainya sedangkan suami berkeadaan lemah lembut, bermanis muka dan sebagainya.
LANGKAH – LANGKAH UNTUK MENGATASI MASALAH NUSYUZ
Berikut adalah langkah – langkah yang perlu dilakukan oleh suami agar menjadikan kehidupan suami isteri bahagia :
1. Pihak suami wajib memberi didikan agama dan tunjuk ajar supaya mereka menjadi wanita yang solehah.
2. Suami isteri perlu mengetahui dan memahami tanggungjawab masing – masing dan mengelakkan perasaan kurang puas hati di antara satu sama lain.
3. Suami isteri hendaklah menjalankan tanggungjawab masing – masing terhadap keluarga dengan penuh ikhlas dan amanah.
4. Suami isteri perlu peka terhadap keperluan bersama supaya tidak timbul perasaan rasa tidak puas hati.
5.Pihak suami perlu memberi penghargaan dan mengucapkan terima kasih ke atas pengorbanan isteri dalam urusan rumah tangga.
6. Pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga, perlu memastikan memilih jodoh daripada lelaki atau wanita yang beriman.
PERKARA-PERKARA YANG PERLU DILAKUKAN APABILA ISTERI NUSYUZ
Apabila suami melihat tanda-tanda yang menunjukkan isterinya itu nusyuz, hendaklah suami itu :
1. Menasihati dengan cara yang baik dan menerangkan kepadanya bahawa nusyuz itu adalah salah dan dikutuk oleh Allah serta memberitahunya bahawa isteri yang nusyuz boleh dipotong atau tidak diberi sara hidupnya, firman Allah :
 
Ertinya : Isteri yang kamu takuti kedurhakaan mereka, maka berilah nasihat kepada mereka.
(Surah An-Nisa: ayat 34)
2. Jika nasihat itu tidak sedikitpun memberi kesan, maka hendaklah suami meninggalkan dari keseketiduran dengan isteri tersebut, sebagaimana firman Allah :
Ertinya : Dan tinggalkan dari seketiduran dengan mereka.
(sambungan ayat 34 surah An-Nisaa’)
Dari ayat ini dapat difahamkan bahawa Allah menyuruh suami-suami meninggalkan dari seketiduran sahaja, bukan meninggalkan percakapan, kerana meninggalkan percakapan lebih dari tiga hari adalah haram, bukan sahaja terhadap isteri-isteri malah terhadap orang lain juga berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
Ertinya : Tidak halal bagi seseorang muslim tidak bercakap dengan saudaranya lebih dari tiga hari. Maksudnya, ialah bila berjumpa di antara satu sama lain, tetapi kalau tidak bertemuan, tidaklah diharamkan walaupun tidak bercakap bertahun-tahun lamanya.
3. Jika tidak seketiduran pun tidak memberi apa-apa kesan, malah isteri tersebut terus nusyuz, maka diharuskan bagi pihak suami memukul isteri tersebut dengan syarat pukulan itu tidak sampai mencederakan atau melukakan sebagaimana firman Allah :
Ertinya : Dan pukullah mereka (isteri).
(Sambngan ayat 34 surah An-Nisa)
Dalam peringkat yang akhir ini, harus dilakukan oleh suami sekiranya difikirkan dengan cara ini akan memberi kesan. Sebaliknya kalau difikirkan tidak akan memberi kesan, maka tidaklah harus dilakukan. Dalam hal ini, suami mestilah berhati-hati , supaya tidak terpukul di tempat-tempat yang mendatangkan bahaya seperti muka, perut dan sebagainya.
RUMUSAN
Sebagai kesimpulannya untuk menghindari nusyuz, pasangan suami isteri hendaklah menjaga perhubungan mereka supaya berkekalan. Akibat daripada berlakunya nusyuz akan memberikan implikasi terhadap perhubungan mereka disamping itu anak – anak juga akan kehilangan untuk mendapatkan kasih sayang. Hal ini juga akan menyebabkan anak – anak terjerumus kearah budaya yang tidak sihat yang dapat merosakkan akhlak, agama dan negara.
Oleh sebab yang demikian, pasangan suami isteri perlulah berusaha dalam mengekalkan perhubungan mereka supaya isteri, suami dan anak – anak dapat hidup dalam keluarga yang bahagia.
……………………….. WASSALAM ………………………..
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan