Setiap pasangan yang berkahwin pasti akan menghadapi beberapa rintangan dan masalah dalam perkahwinan mereka. Masalah yang tidak diselesaikan dengan segera akan membawa kesan yang lebih besar seperti berlakunya perceraian. Terlalu leka dan sibuk dengan urusan harian biasanya akan menjadikan setiap pasangan sukar untuk duduk berbincang dan mencari jalan penyelesaian dalam masalah mereka. Kadang-kala anda perlukan masa dan tempat yang sesuai untuk berbincang masalah tersebut tanpa memikirkan tekanan di tempat kerja.
Salah satu idea terbaik untuk
menyelesaikan masalah perkahwinan adalah dengan mengambil cuti buat sementara
waktu dan rancang percutian berdua tanpa anak-anak seeloknya. Percutian
tersebut akan menjadi satu peluang baik untuk anda menenangkan diri bersama
pasangan dan berusaha mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang berlaku.
Mereka mestilah mencari penyelesaian terbaik dengan mencari punca sebenar
kepada masalah itu dan sentiasalah bertolak-ansur dalam apa jua keadaan bagi
menjamin perhubungan yang berkekalan.
Apabila ingin merancang
percutian, tentukan masa terbaik untuk setiap pasangan bercuti. Waktu terbaik
untuk percutian mungkin boleh dibuat pada hari istimewa seperti hari jadi
pasangan atau hari ulang tahun perkahwinan.
Untuk tempat percutian pula,
pilihlah tempat dan pakej percutian yang sesuai dengan bajet kewangan anda.
Tempat tersebut mungkin ialah tempat yang paling diingati atau menjadi kenangan
lalu yang manis ketika bersama seperti tempat berbulan madu di awal perkahwinan
dahulu. Jika bajet anda tidak mencukupi, anda boleh membawa pasangan untuk
berjalan-jalan di tempat menarik atau tinggal di mana-mana hotel yang
berdekatan asalkan hanya anda berdua sahaja bersama bagi menyelesaikan masalah
yang dihadapi.
Pilihan lain yang boleh dibuat
adalah dengan mengadakan percutian bersama pasangan lain yang anda rapat. Anda
boleh menyertai rawatan dan pemulihan hubungan pasangan yang banyak
menganjurkan aktiviti berkumpulan dan juga terapi bersama. Ini akan membuka
mata anda tentang hubungan pasangan lain dan cara mereka berhubungan dengan
pasangan masing-masing.
Sebelum pergi bercuti, pastikan
masing-masing bersetuju untuk hanya membincangkan masalah perkahwinan dan
penyelesaian yang boleh dilakukan bersama semasa percutian. Elakkan daripada
membincangkan masalah tentang anak-anak, tempat kerja atau apa sahaja perkara
yang tidak dipersetujui sebelum ini. Jika boleh, fikirkan terus pilihan
penyelesaian terbaik yang boleh dilakukan untuk lebih memudahkan pasangan
semasa bercuti nanti.
Semasa bercuti, cari masa bersama
pasangan untuk melihat dan menikmati pemandangan sekeliling selepas anda
selesai berbincang. Ini akan membantu anda dan pasangan anda untuk berasa lebih
tenang dan menjalinkan hubungan yang intim dan menjadi kenangan yang tidak
dapat dilupakan dan sentiasa dirindui. Inilah masa terbaik untuk anda
menguatkan dan merapatkan hubungan mesra bersama pasangan.
Akhir sekali, berjanjilah kepada diri sendiri untuk sentiasa bersama bagi menguatkan dan membina hubungan mesra kembali dalam perkahwinan. Imbas kembali kenangan lalu, bergembira dengan keadaan sekarang dan seterusnya membayangkan kebahagian yang berkekalan bersama pasangan di masa hadapan. Komunikasi teramatlah penting ketika menghabiskan masa berharga bersama dan teruskanlah komunikasi yang baik setelah pulang dari bercuti nanti.
Selamat mencuba. ^_^

Tiada ulasan:
Catat Ulasan