18 Okt 2013

Wawa Zainal - Hentikan Segala Tohmahan

SEHINGGA ke hari ini, rata-rata masyarakat masih berbicara mengenai kontroversi demi kontroversi yang tercipta setelah isu nikah rahsia pasangan selebriti, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal tersebar.

Tampil mengakui kekhilafan dan memohon maaf di atas tindakan itu, baik Aeril mahupun Wawa mengharapkan lembaran baru dalam kehidupan mereka bertiga.

Bukan sahaja Aeril malah, Wawa atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin, 22, berharap agar masyarakat tidak lagi memandang serong di atas segala apa yang telah berlaku sebelum ini.

Malah, jauh di sudut hati Wawa supaya hubungan suci itu diterima masyarakat dan tiada lagi kata-kata nista pada mereka sekeluarga.





Menurut Wawa, penjelasan mereka ketika sidang media sebelum ini diharapkan dapat menjawab segala persoalan dan tohmahan yang dilempar terhadap dirinya, suami dan anak.

"Saya mohon agar kami diberi ruang untuk memulakan hidup baru sekeluarga. Janganlah kerana peristiwa lalu, tohmahan dan cercaan ini berterusan.

"Kasihanilah anak kami kerana dia tidak berdosa dan dia adalah cinta halal kami. Hentikan tohmahan dan cercaan yang bukan-bukan.

"Kami juga manusia biasa yang ada hati dan perasaan. Terima kasih kepada mereka yang mendoakan kebahagiaan kami," kata pelakon filem, 99 Kali Rindu, ini.

Sebelum ini, tindakan Aeril dan Wawa yang menyembunyikan ikatan pernikahan mereka menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat, peminat dan media.





Namun, setelah rahsia ini terbongkar, mereka tampil mengakui perkara sebenar dan mengumumkan telah bernikah sebanyak dua kali apabila perkahwinan pertama tidak sah di sisi Undang-Undang Keluarga Negeri Selangor.

Belum berhijrah penuh

Penghijrahan Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Suhari, 25, bukanlah perkara baru kerana sejak penghujung tahun lalu, dia sudah selesa mengenakan jubah, serban dan bercelak mata.

Namun, ketika sidang media baru-baru ini, Wawa juga dilihat manis bertudung dan mengenakan baju kurung.

Turut menjadi tanda tanya, adakah pelakon filem, 99 Kali Rindu, ini sudah berhijrah dengan mengikut jejak langkah suaminya.

Menurut Wawa yang juga artis residen, Metrowealth International Group (MIG), dia masih lagi dalam proses pembelajaran dan berusaha mendekatkan diri dalam agama.

"Buat masa ini, saya belum lagi berhijrah sepenuhnya. Saya masih belajar dan cuba mendalami ilmu agama.

"Kalau saya keluar, mungkin saya akan pakai tudung. Namun, jika ada tawaran lakonan yang memerlukan saya membuka tudung, saya akan buka.

"Namun, saya akui, memang saya selesa bertudung dan berhasrat untuk ke arah itu. Mungkin sedikit masa lagi," katanya yang mula mencipta nama sebagai pelakon baru menerusi drama, Klik.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan