12 Okt 2013

4 Tip Untuk Menyelamatkan Perkahwinan

Sememangnya sukar untuk setiap pasangan, apabila perkahwinan mereka mula menunjukkan tanda-tanda semakin muram dan dingin. Pertelingkahan atau perselisihan tentang pasangan menyebabkan hubungan semakin renggang dan sukar untuk masing-masing bertolak ansur. Kebanyakan daripada pasangan yang mengalaminya ingin menyelesaikan masalah tersebut namun mereka tidak tahu cara dan penyelesaian sebenar. Sebenarnya, mereka mestilah mencipta hubungan yang rapat kembali untuk menyelamatkan perkahwinan mereka. Empat tips di bawah boleh diikuti untuk membantu mereka menyelesaikan masalah tersebut.




Tip pertama adalah dengan kembali mengenali diri masing-masing. Kenang kembali kenangan lalu, semasa pertama kali berkahwin, semua perkara sentiasa dilakukan bersama. Namun, masa mengubah segalanya. Sesuatu yang dahulunya penuh dengan kebahagiaan akan berakhir dengan kekecewaan jika anda tidak berusaha untuk membina ikatan dan asas hubungan yang teguh. Adakah anda tahu segalanya tentang perihal pasangan anda? Minatnya? Perasaannya? Atau sebarang aktiviti yang boleh dilakukan bersama yang boleh meningkatkan kemesraan dan keteguhan hubungan dalam perkahwinan? Pasangan anda akan tertarik bila anda mengambil berat tentang apa sahaja yang dilakukannya. Jadi, luangkan masa berharga bersama dengan pasangan anda dan kenali semula dirinya untuk membuatkan hubungan mesra bertaut kembali.


Tip kedua yang anda perlu lakukan adalah dengan berbincang secara rasional dengan pasangan anda tentang masalah yang berlaku dalam perkahwinan anda. Namun, terdapat beberapa peraturan yang anda perlu ikuti semasa perbincangan ini dilakukan, iaitu jangan bertengkar, jangan memanggil dengan nama pasangan dan jangan ada sebarang unsur atau ugutan untuk bercerai. Luangkanlah masa dengan berbincang masalah secara diplomasi dan bertolak-ansur serta berusaha untuk mencapai penyelesaian bersama. Elakkan daripada perasaan marah apabila sedang bercakap. Jika terasa ingin marah, berhenti sekejap dan ambil masa untuk kembali menenangkan perasaan sebelum tindakan yang selanjutnya.


Tip ketiga adalah dengan bertanya dan mengambil pendapat orang yang terdekat dengan kita seperti ibu bapa atau kawan baik. Kadang-kala kita masih memerlukan mereka untuk membantu kita dalam sesuatu perkara terutamanya orang yang lebih berpengalaman. Cuba tanya pendapat mereka dan dapatkan sokongan mereka. Ini boleh memotivasikan kita untuk terus berusaha mengekalkan perkahwinan dengan pasangan kita. Namun, elakkan daripada bertanya tentang perkara yang boleh mengaibkan pasangan kita. Tanyalah sekadar ingin bertanya pendapat atau penyelesaian yang boleh diambil jika berlaku sesuatu masalah. Jangan melebih-lebih pula. Perkahwinan anda ialah tanggungjawab anda. Jangan biarkan orang luar pula yang menguasai pemikiran anda.


Tip keempat bagi menyelamatkan perkahwinan anda adalah dengan mendapatkan khidmat kaunseling daripada pakar kaunseling tentang perkahwinan anda. Sememangnya seorang kaunselor sudah pasti pakar dalam bidangnya dan juga telah terlibat dalam menyelesaikan kes-kes sebegini yang berhubung-kait dengan masalah perkahwinan. Apa salahnya jika anda cuba untuk mendapatkan pandangan dan nasihat mereka. Dengan adanya kaunselor, mereka akan cuba untuk memberikan penyelesaian terbaik kepada anda dan membantu anda menyediakan pelan tindakan kepada penyelesaian masalah tersebut. Berikan kerjasama yang terbaik ketika berurusan dengan kaunselor. Jangan terbawa-bawa perasaan amarah atau apa-apa sahaja yang tidak elok ketika mendapatkan khidmat kaunseling. InsyaAllah jika semuanya berjalan dengan lancar, anda bersama pasangan pasti akan menemui jalan penyelesaiannya.


Selamat Mencuba. ^_^




Tiada ulasan:

Catat Ulasan