12 Okt 2013

4 Persepsi Salah Suami Isteri

SUAMI

4 Persepsi Salah Seorang Suami

Perkahwinan merupakan satu ikatan yang memerlukan setiap pasangan saling memahami dan bertimbang rasa dalam apa jua perkara yang berlaku sepanjang perkahwinan mereka. Namun, usaha untuk membuatkan diri mereka saling memahami pasti terbantut jika masih terdapat salah faham atau salah persepsi daripada pihak si isteri dan si suami. Terdapat beberapa persepsi salah yang sering dilakukan oleh si suami. Antaranya ialah:


Memandang rendah keupayaan isteri

Seperti yang tahu, suami merupakan ketua keluarga yang layak membuat apa jua keputusan dalam perkahwinan mereka. Ini menyebabkan mereka berasa seolah-olah mereka sahaja yang layak menetapkan keputusan tanpa mengambil kira pandangan isteri. Pandangan isteri mungkin ditolak mentah-mentah atau hanya dipandang sepi. Persepsi sebegini akan menjadikan si isteri berasa seolah-olah diri mereka tertindas dan tidak dihormati walhal isteri juga mempunyai hak untuk bersuara dan menentukan setiap keputusan yang diambil.


Tidak memahami perbezaan lelaki dan wanita

Sesetengah lelaki pada hari ini yang bergelar suami masih ada yang bersangka bahawa lelaki dan wanita itu sama. Disebabkan persepsi mereka yang salah itu, mereka melayan isteri mereka seperti mereka melayan lelaki. Mereka langsung tidak ada tolak ansur dan bersikap seolah-olah isteri mereka orang asing dalam kehidupan mereka. Tambahan pula, persepsi ini selalunya membuatkan wanita berasa terpinggir dan mudah berkcil hati disebabkan suami mereka tidak memahami keadaan diri mereka yang sentiasa perlu dibelai dan dilayan dengan sewajarnya, bertepatan dengan naluri seorang wanita. Ini akan menyebabkan perkahwinan yang bahagia sukar untuk dicapai serta hubungan suami isteri akan semakin renggang.


Meremehkan jalan penyelesaian isteri

Apabila isteri mengemukakan jalan penyelesaian kepada suami, si suami yang salah persepsi akan terus memandang rendah dan meremehkan cadangan penyelesaian isteri mereka. Si suami menganggap isteri mereka langsung tiada kaitan dengan pekerjaan, pendidikan atau sebagainya yang membolehkannya mengemukakan jalan penyelesaian tersebut. Mungkin si suami lupa bahawa ibunya juga seorang wanita yang melahirkannya, yang telah membesarkannya, yang membolehkan dia membuat keputusan pada hari ini.


Menjadikan “tidak cukup masa” sebagai alasan

Lelaki sering melarikan diri daripada tanggungjawab atau kesalahan mereka dengan cara menutup kesalahan mereka itu dan berkata bahawa mereka tiada masa untuk semua itu. Itu juga merupakan salah satu persepsi yang salah buat seorang suami. Pada hakikatnya, orang yang sering melariakn diri daripada keadaan yang serius, berasa dirinya sibuk sebenarnya merupakan seorang yang suka membuang masa. Alasan tidak ada masa hanya dibuat-buat dengan tujuan membuang masa untuk sesuatu yang tidak berfaedah.


Oleh hal yang demikian, seorang suami haruslah menghindarkan diri daripada terperangkap dengan persepsi sebegini. Ini bagi mengelakkan perkahwinan terjerumus ke dalam masalah yang lebih parah di kemudian hari. Ingatlah bahawa perkahwinan yang bahagia terhasil daripada kesefahaman dan sikap bertolak ansur yang tinggi antara suami dan isteri.





ISTERI

4 Persepsi Salah Seorang Isteri

Selain suami, si isteri juga tidak lari daripada mempunyai tanggapan atau persepsi yang salah terhadap lelaki iaitu suaminya. Sebab itulah tiada siapa pun di dunia ini yang sempurna tanpa melakukan apa-apa kesalahan. Persepsi-persepsi sebegini jika tidak dikawal dan diubah mungkin akan menyebabkan perkahwinan semakin renggang dan seterusnya akan membawa kesan yang lebih parah seperti berlakunya perceraian.


Persepsi salah yang pertama ialah si isteri terlalu mengharap agar suaminya menuruti dan mengikut kehendak serta keperluan dirinya. Tidak salah untuk meminta sesuatu daripada suami, tetapi janganlah terlalu mengharap atau menginginkannya dalam masa yang singkat. Sudah menjadi fitrah seorang lelaki, mereka akan lebih cenderung untuk memikirkan masalah-masalah lain yang perlu diselesaikan berbanding dengan permintaan yang kerap kali dibuat oelh si isteri. Disebabkan persepsi yang salah ini, isteri akan merasakan suaminya sudah tidak lagi memberikan perhatian, bersifat pasif dan sebagainya. Sedarlah bahawa tabiat lelaki dan wanita sangat berbeza.


Selain itu, persepsi salah yang kedua ialah isteri sering membanding-bandingkan tingkah laku suami. Perkara ini juga termasuk dalam hal-hal yang agak mustahil dan agak menyukarkan untuk mewujudkan perkahwinan yang harmoni dan bahagia antara suami isteri. Hal ini kerana, ketika seorang isteri membandingkan tingkah lakunya dengan tingkah laku suaminya, dan kemudiannya mereka ingin suami mereka menjadi seperti mereka, berkemungkinan besar suami mereka tidak akan dapat melakukannya. Tambahan pula, si isteri tetap berdegil dan berkeras hati agar suaminya tetap menurut tingkah lakunya. Masalah akan lebih menjadi teruk sekiranya isteri cuba membanding-bandingkan suaminya dengan lelaki lain walaupun hanya membanding-bandingkan mereka dengan saudara terdekat seperti adik beradik lelaki atau sebagainya. Ingatlah bahawa lelaki mempunyai ego yang tinggi dan sangat pantang apabila diri mereka direndah-rendahkan.


Persepsi salah yang ketiga ialah isteri mengharapkan suami meluahkan perasaan. Wanita dan lelaki dilahirkan berbeza dari segi sosial, emosi dan perasaan. Ternyata aspek-aspek itu lebih dikuasai oleh wanita. Sebagaimana yang kita ketahui, wanita berperanan juga sebagai seorang ibu yang perlu mempunyai sikap lemah lembut, sopan santun dan penuh kasih sayang. Walau bagaimanapun, sikap sebegini hanya segelintir sahaja yang dilihat pada seorang lelaki. Lelaki akan lebih cenderung untuk mencapai impiannya dalam pekerjaan. Sebab itulah isteri tidak boleh terlalu mengharapkan suaminya meluahkan perasaan tentang apa-apa yang tidak berkaitan dengan perkara tersebut. Isteri perlu pandai menyelami perasaan suami dan seterusnya perlahan-lahan untuk menanyakan apa yang dinginkan oleh si isteri.


Secara keseluruhannya, suami dan isteri perlu sedar akan persepsi salah yang selama ini masih mereka pegang dan percaya. Persepsi sebegini sepatutnya langsung tidak perlu bermain di fikiran seorang isteri atau suami. Penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah-masalah sebegini adalah dengan melakukan komunikasi yang berkesan. Selalulah untuk bercakap dan meyelami perasaan dan jiwa suami. Luahkan apa sahaja yang terbuku di hati dan tanyakan pendapatnya agar si suami berasa diri mereka lebih dihargai.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan